Monday, November 30, 2009

Kertas Kerja yang Tak Bekerja


WACANA INTELEKTUAL
Tajuk:
PENGUKURAN KEJAYAAN GERAKAN WANITA DAN HALATUJU MASA DEPAN GERAKAN WANITA

Pengukuran Kejayaan Gerakan Wanita dan
Halatuju Masa Depan Gerakan Wanita[1]
YB Siti Zailah Mohd Yusoff [2]

Muqaddimah
            Islam dan gerakan tidak pernah terpisah. Tuntutan iman yang diyakini setiap muslim menjadikan Islam adalah gerakan. Menggerakkan Islam difahami sebagai satu amanah yang perlu dipikul, mukmin yang taat sanggup bergolak bergadai demi melaksanakannya dengan sempurna. Memahami prinsip ini, gerakan wanita islam bangkit menjadi sayap penting perjuangan. Asas penting yang ditunjukkan Rasulullah dapat dilihat melalui tarbiah tersusun Baginda dalam membentuk peribadi wanita muslim zamannya. Baginda mengasah jiwa besar Siti Khadijah untuk berkorban harta, mencungkil bakat kepimpinan berani Siti Aishah, mengembang potensi intelektual anak gadisnya Siti Fatimah.  Buat para isterinya yang lain, baginda meninggalkan didikan sabar, semangat berkorban dan cintakan syahid. Semuanya dilakukan sebagai manifestasi pentingnya wanita dalam pembinaan sebuah tamadun.
            Seusai runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah di Turki, gerakan baru dakwah Islam mula menukil sejarah kegemilangannya diera Ikhwanul Muslimin yang dipimpin As-Syahid Imam Hassan Al-Banna. Jika di sekitar Asia Tenggara, Pan-Islamisme dilihat cerminan Ikhwan. Gerakan ini mula mendominasi massa lantas mempengaruhi semangat pembebasan daripada kongkongan kapitalis penjajah di negara-negara berpenduduk Islam. Inspirasi pengeboman Imam Hassan Al- Banna, syahidnya Syed Qutb ditali gantung dan pemenjaraan Zainab selama enam tahun telah memangkin kebangkitan pembebasan dan tuntutan hak-hak manusia sejagat. Gerakan wanita yang mula menjadi sayap Ikhwan bermula 1946 telah berhasil menguatkan Ikhwan yang ditekan dan diancam pembubaran. Akhirnya, Jamaah Muslimat yang ditubuhkan sejak 1935 diketuai Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili itu telah memperlihatkan potensi sebenar muslimat kepada dunia gerakan. Sebermula detik itulah, tentangan yang diterima Zainab dan Jemaah yang sehingga akhirnya memenjarakannya sering menjadi motivasi penguat juang dikala lemah para Ikhwan.

Pengukuran Kejayaan Sebuah Gerakan
Apa yang bakal terjadi di masa hadapan mempunyai akarnya di zaman ini. Hari ini mempunyai pelbagai kemungkinan yang hanya akan menjadi kenyataan di hari muka. Namun manusia tidak memiliki daya capai untuk menelah apa yang tumbuh dan menjadi sejarah di masa depan. Yang sering dilakukan adalah menoleh kebelakang untuk memahami kenyataan hari ini. Kenyataan tenggelamnya budaya kecerdikan akal dan keunggulan jatidiri muslim. Ia semakin hilang, ditelan pembaratan yang tiada bertepi.
Pembaratan atau westernisation adalah satu fenomena yang singgah hampir diseluruh negara di dunia. Pembaratan dan kesombongan kuasa Eropah telah menjadi topik utama perbualan marhaein, dan yang paling terkesan, fenomena ini telah menjadi doktrin masalah kepada masyarakat Asia. Asia–Eropah umumnya telah melalui satu sejarah hitam yang panjang. Barat (bangsa Eropah) yang melihat dirinya sebagai ikon penampilan akal dan cahaya tamadun, memiliki kecergasan dan kuasa; sementara peradaban Timur (Asia) pula mewakili tahyul, kegelapan, kelembapan dan kebiadaban. Maka, bentuk hubungan yang terbit daripada sikap tersebut adalah imperialism. Westernisation dan imperialism menjadi satu lesen besar bagi menakluk satu persatu bangsa-bangsa kulit berwarna.
Penghinaan Barat terhadap bangsa Melayu boleh dilihat melalui kata-kata Frank Swettenham sewaktu menjadi Residen Inggeris di Tanah Melayu. Beliau berkata bahawa sifat khas yang ada pada orang Melayu adalah keengganan untuk bekerja.[3] Sifat malas ini sejak awal lagi disindir juga penulis sajak terkenal Eropah, Rudyard Kipling yang mengatakan “there is too much in Asia and it is too old” dengan maksud Asia telah tua bangka, pelik dan asing.  Ini pandangan sinikal golongan ‘pembawa cahaya’ kepada masyarakat kita. Namun kini, gerakan imperialisma cara baru bukan lagi menggunakan doktrin mereka pembawa cahaya tetapi dibuat melalui ‘la mission democratisacre’. Sistem demokrasi yang diperkenalkan yang kita agung dan banggakan rupa-rupanya satu bentuk penjajahan baru imperialis.
Demokrasi, hak samarata dan persamaan gender adalah momokan semata pihak pemerintah yang sekular. Demokrasi yang dilaungkan tidak akan berjaya memurnikan kek serta jurang ekonomi penduduk. Demokrasi yang ada di Malaysia dan Negara-negara Komanwel hakikatnya masih ditakluk Barat. Demokrasi yang kita mahukan adalah demokrasi yang ikhlas memberi kebebasan bersuara, bersimpang dari kejumudan mentaliti sempit, bebas perlabelan teroris dan bebas jauh dari  keruntuhan akhlak jelek pemimpin rasuah.
Kerosakan sistem akhirnya memberi kesan kepada ahli gerakan khususnya wanita. Wanita yang ingin membina tamadun dengan acuan sendiri perlu menghadapi cabaran dalaman dan luaran yang mengekang. Melihat permasalahan ini dengan kritis, cabaran membawa pembebasan minda kepada masyarakat adalah serius. Keberhasilan atau kejayaan gerakan baik wanita mahupun lelaki dilihat perlu melalui dan mematuhi beberapa fasa.
1.     Kesuburan Budaya Keilmuan
Akar pembangunan dan kemajuan adalah ilmu. Dan ilmu perlu dibudayakan supaya ia meresap, berakar umbi menjadi sebahagian sistem nilai msyarakat sejagat. Namun, tanpa kita sedari, pembaratan ini sebenarnya masih menerjah dan menghantui perkembangan budaya intelektual kita secara halus. Menggunakan teknologi canggih, pengaruh media dan hiburan yang menjadi alat menggula-gulakan masyarakat yang dahagakan kebebasan tanpa asas, ia agak merencatkan perkembangan budaya cinta ilmu dikalangan masyarakat.
Ilmu pintu tamadun dan peradaban. Di zaman Rasulullah, asas kejayaan dakwah dan penyebaran islam adalah pembudayaan ilmu. Ini dapat dilihat melalui masjid-masjid ynag penuh dengan aktiviti ilmiah. Perbincangan agama dan dialog disuburkan dengan baik. Tokoh intelektual terkenal zaman Baginda sehingga digelar Nabi S.A.W sebagai ‘Pintu Ilmu’ adalah Saidina Ali k.w.j. Beliau pernah berkata kepada sahabatnya:
“Ya Kamil, ilmu lebih bernilai daripada harta kerana ilmu menjaga kamu ketika kamu menjaga harta. Ilmu memerintah kamu sementara harta diperintah. Harta berkurangan apabila dibelanjakan tetapi ilmu bertambah apabila digunakan.”[4]
Penyuburan budaya ini secara praktikalnya dapat dilakasanakan sepertimana sistem usrah yang digunapakai dalam manhaj tarbiah ahli gerakan sekarang. Cuma, pelaksanannya perlu diperkasa supaya dilihat merakyat dan bukan hanya dikalangan ahli gerakan sahaja. Isi perbincangan juga perlu dapat menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan semasa; membangun perkembangan minda dan akliah, motivasi, kerohanian dan nilai-nilai lain yang bersifat waqi’i dan semasa. Halaqah usrah perlu bertenaga dan hidup. Kupasan buku, perbincangan isu semasa, bahkan perancangan yang melangkau masa depan boleh dilakukan jika sesuai, demi melahirkan budaya berfikir secara kritikal, menyangkal dakwaan Kipling bahawa orang Melayu malas berfikir. Usrah perlu menjadi wasilah dakwah Islam kepada masyarakat yang paling praktikal. Namun, jangan kita rigidkan bentuk dakwah ini dengan usrah berhalaqah sahaja. Pendekatan lain yang lebih mesra dan merakyat perlu difikirkan supaya nilai Islam yang ingin disampaikan berhasil melahirkan masyarakat yang berakhlak. Mungkin suatu hari nanti kita berusrah melalui internet sahaja, seluruh dunia tidak mengira masa.

2.     Kefahaman Akan Kepelbagaian Sosio-budaya Masyarakat
Di sinilah cabarannya. Kayu ukur kebangkitan gerakan wanita dalam masyarakat mestilah berteraskan kemampuan menyelesaikan masalah lokal, barulah kewujudannya dirasai, kehadirannya dihormati. Namun, sebelum itu, gerakan wanita perlu betul-betul memahami akan kepelbagaian sosio budaya, latar politik, sejarah, adat dan cara fikir masyarakat. Cabaran memperbaiki sistem yang ada ini bukan sedikit. Tambahan pula, sistem yang ada sekarang masih tidak meraikan budaya ilmu, kosong pemikiran dan sudah gersang akhlak dan nilai ketimuran. Ini adalah kesan susupan halus emperialis melalui kecanggihan teknologi dan gula-gula globalisasi serta tidak terkecuali faktor sang pemimpin korupsi, nepotisme dan kronisme.
Gerakan yang realistik perlu dilihat mampu menyelesaikan masalah semasa. Mahu menyelesaikan masalah perlulah memahami latar masalah itu dari kacamata yang betul. Sudut pandang ahli gerakan perlulah mendasari permasalahan sebenar, bukan permasalahan cabang. Yang berlaku sekarang, kita seperti pasukan bomba yang bertugas memadamkan api, bersifat reaktif tidak proaktif. Kita masih belum dilihat seperti pasukan doktor yang memberi nasihat, bimbingan dan rawatan kepada pesakit, berprinsip mencegah lebih baik daripada merawat. Fasa penyuburan perkembangan akal dan budi akan menatijahkan kebangkitan gerakan wanita yang tersendiri dan berhasil menjadi ubat bagi masyarakat sakit yang pelbagai.

3.     Wanita Memimpin Masyarakat
Keluhan tanpa penyelesaian akan berlaku sekiranya wanita sendiri tidak diberi kepercayaan memperjuangkan hak mereka. Hanya wanita yang akan memahami wanita sebaiknya. Kehadiran wanita disektor pembuat keputusan serta penggubal undang-undang dilihat manifestasi pengiktirafan wanita dalam masyarakat. Hasil kesedaran intelektual barisan pemimpin seluruhnya, soal emansipasi dan diskrimnasi wanita dunia telah jauh ditinggalkan. Keinginan dan keazaman ahli gerakan wanita yang mempunyai asas faham Islam sebenar serta doktrin kuat menjadi ummat terbaik seperti yang disaran Rasul yang mencapai tahap ekstasi, telah diterjemahkan penulis Perancis sebagai satu puncak kehidupan yang tidak terjangkau fantasinya. Tidak salah memberikan golongan berperibadi lembut yang telah melahirkan pemimpin hebat ditangannya ini peluang menjawat jawatan kedua tertinggi negeri atau Negara.
Wanita hakikatnya lebih beremosi dan penyayang. Limpahan sifat ini yang dilebihkan Allah mengatasi kaum lelaki sepatutnya mendorong gerakan wanita supaya lebih terkedepan dalam menjuarai isu-isu kemanusiaan dan kebajikan. Sister In Islam  (SIS) sudah jauh membina jaringan antarabangsa. Imam wanita terkenal SIS, Amina Wadud sudah menulis buku dan merungkai permasalahan umat mengikut sisi pandangnya yang jahil agama. Bukunya yang berjudul Qur’an And Woman: Rereading The Sacred Text From a Woman’s Perspective, adalah sekurang-kurangnya usaha gigihnya menonjolkan hak-hak wanita menurut akal tafsirannya sendiri. Gerakan wanita Islam kita? Walaupun sudah banyak lisan dan tulisan yang vokal menentang liberalisasi agama, namun suara ini masih minima dan belum cukup kuat untuk menentang sang jahil bertopengkan Islam liberal.
4.      Penglibatan Semua Pihak
            Para penggerak  perlu menyedari hakikat bahawa Allah tidak memerlukan usaha dan pengorbanan kita, akan tetapi kita manusia yang membutuhkan rahmat dan syafaat Allah dan Rasul-Nya.  Maka, adil diletakkan beban amanah gerakan ini atas batu jemala setiap diri kita ahli gerakan. Tenaga semua pihak perlu digembleng. Agensi kerajaan, kementerian, surau-surau, masjid-masjid, NGO-NGO dan tenaga-tenaga profesional haruslah ikut serta dalam arus menggerakkan agenda masyarakat ini. Masing-masing berperanan dalam bidang masing-masing, namun dalam keadaan terselaras dan berstruktur kemas bagi membantu gerakan. Dengan penglibatan semua pihak, barulah gerakan ini mampu membudayakan intelektual dan merayakan budi; memahami dan menghadami latar masyarakat; malah mampu merakyat di komuniti setempat dalam erti menyantuni kebajikan masyarakat.




Halatuju Masa Depan Gerakan Wanita
            Melihat permasalahan yang ada melahirkan pelbagai idea penyelesaian. Namn, bagaimana idea ini disusun supaya ia membentuk satu metodologi penyelesaian masalah yang berkesan dan memberi impak yang bermakna kepada wanita sejagat? Fasa penyelesaian perlu melalui melalui beberapa pendekatan iaitu:
1.     Mengukuhkan Kesatuan
Gerakan Islam diasaskan menggunakan prinsip kesatuan fikiran. Secara idealnya, ia akan menghasilkan kesatuan amal. Patuh ketua tanpa bertaklid membabi buta. Gagasan Ikhwan yang disambut Jemaah Muslimat pimpinan Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili sewaktu ketika dahulu dilihat masih relevan untuk diteruskan oleh gerakan wanita sekarang. Hakikatnya, seruan bersatu padu dan berkasih sayang ini ditegaskan sendiri Allah dalam firman-Nya dalam Surah Al-Maidah ayat 54 yang bermaksud;
“Maka akan didatangkan oleh Allah satu kaum yang Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah di mana mereka bersikap merendah diri terhadap orang-orang mukmin tetapi bersikap keras terhadap orang-orang kafir.”

Menghidupkan gerakan umpama menghidupkan masjid-masjid Allah. Hanya orang-orang yang ikhlas dijalan perjuangan ini sahaja yang mampu memakmurkannya. Ikhlas dan pengorbanan sangat penting dalam mengukuhkan jemaah. Berkorban tanpa ikhlas kerana Allah hanya akan merugikan pelakunya. Perkara ini banyak kali dipesan oleh Rasulullah, salah satunya melalui sabda Baginda yang berkaitan niat. Jika hijrah yang dilakukan seseorang itu dilakukan kerana perkara selain Allah, Rasul dan perjuangan Islam, maka kemenangan dan redha Allah yang diperoleh. Berbeza pula jika ia diniatkan memperoleh harta, wanita dan nama, pelakunya akan memperoleh seperti yang dihajati. Namun, apa yang dikejar ahli gerakan? Semestinya redha Allah dan syurga akhirat.

Mengukuhkan jemaah tanpa ukhwah adalah mustahil. Ukhwah adalah natijah iman. Ini berdasarkan hadis nabi yang berbunyi: “Tidak beriman seseorang kamu selagi ia tidak mengasihi saudaranya sebagimana ia mengasihi dirinya sendiri.” Ukhwah ini yang akan mencetuskan kemanisan untuk berkorban dan ukhwah ini juga yang akan membakar semangat untuk terus bersama jemaah dalam suka atau duka, diwaktu kalah atau menang, diwaktu sempit atau lapang.

Tiada ukhwah tanpa berlapang dada. Keperluan kita untuk sentiasa bersama-sama, berprogram, beriadah, berusrah dan segala bentuk aktiviti lainnya memungkinkan wujudnya perselisihan faham dan pertelingkahan. Lupakan sejenak soal diri. Fikirkan soal agama. Tuntutan bersatu tanpa bersengketa lebih besar dan bermakna. Seperti yang disebutkan seorang sahabat besar Nabi S.A.W yang berbunyi:
“Apabila seseorang melakukan kesalahan terhadapmu, maka maafkan dengan menyertai kebenaran, dan keadilan bagi orang yang berakal lebih dasyat daripada pukulan.”


2.     Merakyat di Komuniti Setempat
Sebagai problem solver masyarakat, ahli gerakan wanita perlu membuktikan kemampuan untuk membantu mereka yang memerlukan. Dalam segenap segi, ahli gerakan wanita perlu berkemahiran, berketerampilan dan diyakini boleh menyelesaikan masalah yang hadir dan memenuhi keperluan masyarakat. Penguasaan kemahiran berteknologi  seperti laman web, blog, freindster, facebook, dan teknologi mudah alih samada melalui telefon atau sebagainya boleh membantu ahli gerakan menawan hati masyarakat. Capaian mudah kepada maklumat (information accessibility) melalui penggunaan teknologi adalah alat penting bagi mengangkis serangan luaran dan juga sebagai medium penerangan yang baik bahan dakwah kepada masyarakat.
            Selain penggunaan ICT, ahli gerakan wanita perlu cakna kepada hak-hak wanita dan masyarakat khususnya serta undang-undang disemua peringkat amnya. Pengetahuan tentang undang-undang akan menyuntik keberanian dan kelantangan bersuara dalam menyatakan hak-hak menyangkut soal wanita.

3.     Matang Berpolitik
Kematangan politik kaum wanita negara masih ditahap yang rendah jika dibandingkan dengan Negara-negara jiran yang lain. Berdasarkan data jumlah penyertaan wanita di parlimen bagi Negara-negara Asean pada Jan 2008, Malaysia masih ditahap peratusan yang mengecewakan apabila Indonesia dan Thailand mendahului kita. Peratusan wanita yang menjadi ahli parlimen bukanlah satu-satunya kayu ukur wanita matang berpolitik, namun, ia menggambarkan penerimaan golongan ini ditengah masyarakat dan  bermaksud wanita mereka dihargai dan diangkat sewajarnya.
Kematangan berpolitik wanita dapat digarap melalui sistem pendidikan. Terdapat tiga fasa yang perlu dilalui dan dipatuhi iaitu:
1) Memberikan pemahaman yang benar tentang politik dalam pandangan Islam. Ini untuk menghilangkan persepsi bahawa politik adalah wilayah yang ‘tidak mesra’ bagi ahli gerakan wanita.

2) Meningkatkan kesedaran politik wanita. Ini dapat dilaksanakan melalui keterlibatan secara aktif wanita dengan peristiwa-peristiwa politik, melakukan penelaahan, cakna isu dan berpandangan menggunakan sudut pandangan Islam. Tiada bezanya samada wanita itu sudah berkahwin atau belum, apakah dia hanya suri rumah tangga, berkarier, ahli politik, mahasiswi, cendekiawan ataupun ustazah.

Akhirnya kita dapat lihat, ahli gerakan wanita mengulas sesuatu peristiwa yang berlaku dari kacamata Islam dan memberi pendapat sendiri dalam kerangka pemikiran Islam. Tidak diam dan terlena dengan kondisi yang dihadapinya, kesedaran Islam yang dimiliki akan mendorong untuk terus berjuang, di manapun dia berada.

3) Membentuk wanita yang memiliki ketajaman analisis dan menyelesaikan real problem bukan current problem. Cara terbaik bagi ahli politik yang berautoriti menentukan dasar-dasar Negara adalah melalui penghalusan rentetan peristiwa, analisis masalah sebenar dan menghapuskan perkara yang utama penyebab masalah. Orientasi kerangka berfikir perlu betul. Sebagai contoh, masalah pembantu rumah asing di negara kita. Negara pernah digemparkan dengan kes Nirmala Bonat, Mantik Hani, majikan diberi racun dan sebagainya. Penggubal dasar yang baik  perlulah meneliti kes ini secara struktur, bukan hanya dengan menyaman pihak terlibat (samada majikan ataupun pekerja). Saman-menyaman adalah penyelesaian sementara. Turun menyiasat permasalahan sebenar, dan meneliti polisi dan dasar mana yang perlu diperhalusi serta pemantauan setiap pihak yang terlibat perlu diperkasakan. Inilah halatuju masa depan ahli gerakan wanita yang proaktif.

4) Matang berpolitik juga dilihat melalui kesediaan ahli gerakan untuk melakukan sebarang perubahan yang wajar. Sifat dinamik ini amat penting bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku terutama diperingkat dalaman gerakan. Kini, momentum perubahan ada dimana-mana. Hanya gerakan yang positif dan dinamik sahaja dilihat yang akan menjadi pilihan rakyat.
 

Kesimpulan

Ahli gerakan wanita tidak akan mampu berdiri berseorangan tanpa jemaah atau secara legal praktisnya, parti. Yang jelas, parti tersebut haruslah parti yang memiliki method perjuangan seperti yang digariskan oleh Rasulullah saw dan semata-mata berjuang untuk mengembalikan keadilan dan kebenaran kedalam kehidupan Islam.

Apapun, ilmu tak tersubur tanpa penyubur sebagaimana pokok tak tumbuh tanpa akar. Akarnya adalah kita. Ahli gerakan perlu mempunyai falsafah yang betul dalam setiap tindakan. Walau pengukuran kejayaan dan halatuju gerakan sudah jelas, tanpa amal, usaha kita bakal tersadai ditengah arus bersimpang.

Yang paling utama adalah kesatuan hati. Hadis Nabi S.A.W menyebut, jika baik seketul hati, maka baiklah seluruh anggotanya. Selesaikan perkara-perkara kecil sebelum perkara kecil ini menyangkut kita di mata kail hasad dan salah sangka. Letakkan agenda Islam lebih besar di hadapan, nescaya diri akan terubat dengan kemaafan dan kebaikan.

Hakikatnya, kesedaran Islam masih terlalu jauh untuk datang bertandang mengetuk hati mad’u kita seluruhnya. Kejahilan masih menebal, orientasi pemikiran masih menyimpang, bercampur aduk Islam-sekular dan hedonism masih menghantui golongan remaja. Natijah kebobrokan ini adalah gejala social merata ditengah masyarakat. Bersidang, bersoal jawab lisan mahupun tulisan kita setiap hari akan statistik  yang makin meningkat, tetapi masalah tetap juga tidak selesai. Kerana si jahil masih lagi majoriti.



[1] Kertas Kerja ini dibentangkan di Wacana Intelektual Wanita di Dewan Perpustakaan Ratu, Tkt.3, Perbadanan Perpustakaan Awam negeri Selangor pada 22 Nov 2009
[2] Puan Hajjah Siti Zailah Mohd Yusoff adalah Ahli Parlimen Rantau Panjang
[3] Dikutip oleh Alatas, Syed Hussein.lihat Mitos Pribumi Malas (1988), Jakarta: Penerbit LP3ES
[4] Disebut dalam Ihya Ulumiddin (terj.) Al-Ghazali, Abu Hamid,Jil.1 Jakarta: Percetakan Menara Kudus, 1980

Tuesday, November 24, 2009

Perkara Besar Dalam Hidupku

Sebagai permulaan, aku disaran mengenali diri dan musuh. Menelaah menjelujur sepak terajang, hiruk pikuk dan warna warni kehidupan, menemukanku beberapa perkara besar dalam hidup yang menjadikan siapa aku hari ini.


Mencinta dan Bercinta
Rupa-rupanya, kisah silam yang kulalui dizaman sekolah dan sepanjang sesi belajar di institusi yang seterusnya memberi seribu erti dan rasa penambah perencah hidup. Serasa beruntungnya diri bila dipilih Allah utuk diberi hidayah dan petunjuk dipertengahan perjalanan. Kini ku bersyukur, aku bebas tapi terbatas. Aku berputar namun berpaksi. Serasa bersyukur yang tak terhingga kerana Tuhan pernah memberi aku rasa menyayangi dan disayangi sejak awal. Ia fitrah. Aku dikawal ibubapa dalam mengendali perubahan emosi ini. Sejak dulu,ibu menjadi tempat kubercerita. Aku amat selesa bercerita padanya. Padaku, disaat sahabat sebaya menjauh dan mengasing diri dari ibubapa, namun tidak padaku. Ibu tempat terbaik dan paling memahami. Beliau tidak menghalang tapi menasihati dan membimbing. Hingga kini, tindak tanduk dan pergerakanku direstui ibu. Dlam segenap hal, samada peribadi atau urusan dakwah, dimaklumi seluruhnya.

Sedih, marah, kecewa,dan gembira kukutip ia sebagai pedoman agar tidak terlanjur diakhir kehidupan. Pengalaman itu membentengi diriku sewaktu diasak situasi yang sama sepanjang hidup, tidak kira dimana dan dengan siapa. Takdir Tuhan tak mengenal sesiapa. Aku belajar dan terus belajar untuk matang dan tidak silap membuat keputusan. Kekeliruan yang mungkin timbul alhamdulillah berjaya diatasi secara bijak dek pengalaman yang banyak memukul dan mengajar. Terima Kasih Tuhan...aku amat bersyukur menjadi diriku.

Ada Titik Putar
Diawal langkah,aku banyak membiarkan nasib yang mencorak kehidupanku. dimana belajar, kos yang diambil, extend semester, soal baitul muslim, bekerja, gaji berapa, dan apa sahaja banyak yang "let it be"... Aku jarang serius dan terlalu rigid. Waktu tu, berpendirian "Biar Tuhan yang menentukan". serasa diri bagai lalang. Namun, adatitik putar yang merubah sedikit demi sedikit paradigma pemikiranku. Mula serius dengan masa depan dan mula fokus untuk menjadikan hidup lebih bermakna. Alhamdulillah, pilihan Allah kalii ni diyakini betul dan dilaksanakan sebaiknya. Hadirnya pembantu dan pembimbing serasa panduan dari langit bagi insan terpilih. Syukur lagi...

Mendampingi Tokoh
Orang yang hebat mempunyai sahabat yang hebat.
Menganalisa secara rambang akan rakan-rakan sekitar dan orang-orang yang kudampingi, menyedarkan aku bahawa sejak awal lagi memang aku banyak bersama orang-orang yang hebat dan terbaik. Sejak lahir, aku dianugerahi Abah yang tegas namun berfikiran terbuka. Memasuki Matrikulasi, aku punyai kawan-kawan Ajk Surau yang banyak membimbing kearah kebikan dan kebenaran. Dikampus, dianugerahi kefahaman tentang dakwah dan tarbiah. Ini membuat hidup lebih bermakna kerana sejak dari itu, aku mula mnemui tokoh-tokoh besar dalam bidang masing-masing.

Sekitar Ilmuan dan Budaya Ilmu
Pak usrah (naqib) yang banyak membentuk cara fikir telah mengubah cara kerja ku, berbeza dengan rakan seangkatan yang lain. Ditakdirkan Allah,aku antara satu-satunya anak usrah yang tidak sepatutnya dikalangan 'mereka'. Bersama 'mereka',aku mengerti akan kewujudan 'perbezaan dalam persamaan'. Matlamat kita sama, tapi cara kita berbeza. Diwaktu itu,'mereka' ini pembangkang dalam pembangkang! aku orang baru, diam mengiakan sahaja. aku pertahankan 'mereka' dalam hati saja kerana ku tahu, 'mereka' betul dan benar... tokoh itu yang kukagumi..ketinggian ilmunya yang menarik hati untuk yakin dengan pendekatan yang dibawa. sedikit tidak bersetuju terhapus dengan ketajaman akal fikiran serta bukti bahawa pendekatannya mampu melahirkan ahli yang lebih baik. sehingga kini, 'mereka' masih aktif dan terus melahirkan orang2 hebat.

Ilmuan juga banyak mendedahkan diriku pada tasawwur sebenar akan kesepaduan dan keseimbnagn ilmu. Ilmu yang membawa kepada Tuhan, ilmu yang membuktikan keadilan Tuhan, ilmu juga yang menatijahkan kecanggihan dan keharmonian kehidupan alam.. Aku mula berani mengenali diri dan Pencipta diri malalui akal, satu batasan disiplin yang tak pernah dilanggari sebelum ini. MasyaAllah..

Sekitar Politikus dan Ahli Gerakan
Politikus yang dikenali juga banyak membentuk jiwa dan semangat juangku. hari demi hari, citi-cita dan harapan makin bertunas. Ia hakikatnya dibaja dengan maklumat dan kefahamna akan keperluan untuk bersedia mengganti yang hilang suatu hari nanti. Kewibawaan dan tahap intelektual mereka yang tinggi amat mengesankan diri. Berdampingan mereka menyelesaikan urusan yang berkaitan sediikit sebanyak memotivasikanku agar mahu berbuat yang terbaik dalam hidup. Perkongsian pengalaman dari mereka amat bermakna agar kita generasi muda tidaklah menyambut gagasan gerakan itu dengan sifar, tapi biarlah kita ini yang 'meneruskan perjuangan' seperti yang pernah diungkapkan Syed Qutb "kita adalah mata rantai perjuangan. tidak memula dan janganlah yang mengakhirinya".

Pernah dalam beberapa urusan belakangan ini, aku didedahkan dengan figur-figur hebat negara. Aku pernah jumpa tahanan ISA, pernah berbincang dengan pemikir-pemikir dasar negara, berdiskusi dengan aktivis wanita dan masyarakat, serta banyak lagi penggerak-penggerak penting dalam urusan-urusan besar yang kebanyakan mereka pakar dalambidang masing-masing. Kegilaan pada cerita tokh sejak bangku sekolah rupanya membawa aku kepada pertemuan dan perbincanagn yang lebih bermakna..masyaAllah, besarnya Tuhan.  Pilihan Tuhan ini, akan dihargai sebaiknya. Peluang yang ada akan dimanfaatkan demi masa depan Malaysia yang lebih baik. InsyaAllah..., bak kata guruku, 'i'm on the right track". is it?? Alhamdulillah, "percaya aku boleh" sedikit demi sedikit menjadi "yakin aku boleh". terima kasih guru.. hadir kalian adalah satu fenomena besar dalam hidupku.

Kalian Tokoh Terdekat
Masih lagi bercakap perihal tokoh.
Tokoh yang kudampingi kini adalah pemikir dan aktivis Islam yang baik,yang paling baik yang pernah kutemui. Semoga Allah merahmati saya dan kalian, agar kita berjaya 'Merealisasikan Impian Bersama' (pinjam tema Nisa'). juga berdoa agar kita semua masih dalam batasan syariat dan redha-Nya. Mohon perlindungan dari syaitan yang direjam. Amiiinnnn....

Sunday, November 15, 2009

Keadilan Tuhan

Sudah lama rasanya tidak menulis diari umum ini.Hari ini serasa Allah melapangkan hati dan masa untuk berkongsi barang sedikit pengalaman dengan dunia. pengalaman banyak mengajar manusia menjadi hebat. kerana orang yang mengutip pengalaman disepanjang hidupnya ialah orang yang belajar. tidak semua peristiwa adalah pengalaman. hanya peristiwa yang memberi pengajaran padaku, membawa faham 'pengalaman'. maka, orang yang menganalisis, menginsafi segala peistiwa adalah orang yang belajar dan dialah berpengalaman.

Aku bukan ahli falsafah, bukan juga ulama. namun,kuingin berkongsi pengalaman sebuah pengembaraan mencari Tuhan. pengembaaan tidak bertepi. tiada had namun bersempadan. penuh kebebasan namun berpaksi.




 Adilkah Tuhan?





Hakikatnya kita pasti bertanya.Siapa menjawab? maka yang menjawab adalah AKAL..
Tidakkira akal kita atau akal sesiapa. samada ustaz, ulama, ahli falsafah, ahli muzik, ahli sufi, imam.. Kesimpulan: yang menjawabnya adalah akal..


Bagimana pula akal mampu menjawab setepatnya?Mengelak ada yang 'tak tepat', maka ada disiplin pemikiran yang menghalang manusia berfikir sendirian sejauh dan sedalamnya.


Dan akhirnya, bertaklid saja..
Aku percaya keadilan Tuhan. setiap pertanyaan pasti ada jawapan.
Ia hanya soal masa. sampai masa, terjawablah ia.
InsyaAllah..aku akan terus menunggu saat itu.

Wednesday, November 04, 2009

AKTIVITI SEKS PELAJAR MENAKUTKAN..!!



 KUCHING: Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mendedahkan bahawa seorang daripada tiga orang pelajar perempuan sekolah menengah mengakui pernah terlibat dengan aktiviti seks. Kajian ini dilakukan lebih kurang sepuluh tahun yang lalu sewaktu bertugas sebagai professor Psikologi Sosial di Universiti Malaya. Pendedahan itu dibuat Dato’ Dr. Chiam Heng Keng ketika menghadiri Seminar Biro Wanita Sarawak di sini.

Dalam taklimatnya mengenai “Menghadapi Realiti Hari Ini,” Dr. Chiam berkata “ia member perasaan teneram kepada adis-gadis ini kerana kawan-kawannya yang lain turut melakukannya dan ia tidak kagi salah kerana orang lain turut melakukannya.”

Dr Chiam menambah, sekiranya kegiatan seks tidak lagi asing dikalangan pelajar, beliau bimbang sekiranya dimasa akan datang, pelajar sekolah rendah akan turut melakukannya.

Kajian mendapati bahawa sesetengah pelajar melakukan seks hanya untuk suka-suka, kemudiannya melacurkan diri untuk mendapatkan wang bagi membe telefon dan pakaian berjenama. Didapati, golongan ini tidak melakukan kegiatan haram ini ditempat awam atau hotel, tetapi di rumah sendiri.

 ini kajian sepuluh tahun lepas. bayangkan jika kajian terbaru? saya tak rasa ianya berkurang dalam keadaan suasan masyarakat yang amat terdedah dengan dunia IT yang terbuka ini. video lucah,iklan seks masuk kerumah bagai air.

Inilah realiti remaja kita pada hari ini. Kita amat bimbang, keruntuhan akhlak inin akan turut meruntuhkan institusi keluarga, masyarakat dan seterusnya meranapkan usaha mengembalikan kegemilangan tamadun Islam yang pernah dimercu tertinggi satu masa dahulu. –harakah 6-8Nov9