Wednesday, April 07, 2010

Perjuangan Memperkasa Rakyat Tetap Diteruskan

Sinar Harian 8 April 2010
NIK NAZMI NIK AHMAD



Ulang tahun kedua keputusan Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008 ditandai dengan beberapa pemimpin dan Ahli Parlimen keluar dan dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat.



Sayang sekali semua ini berlaku ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berdepan dengan perbicaraannya di mahkamah.



Pembelotan dan pemecatan bukanlah perkara baru dalam politik Malaysia. Pas pernah memecat Timbalan Presidennya, Datuk Hassan Adli yang menentang lembaga disiplin parti dalam krisis di Kelantan pada tahun 1977.



Lima tahun kemudian, Datuk Asri Muda, Presiden Pas ketika Datun Hassan dipecat, bersama isterinya Datin Sakinah Joned yang ketika itu ialah Ketua Muslimat Pas serta empat lagi Ahli Parlimen Pas meletak jawatan daripada parti Islam tersebut. Ketika itu Pas hanya tinggal seorang Ahli Parlimen yang bernama Nik Aziz Nik Mat dari Pengkalan Chepa. Pada tahun 1989, Ustaz Nakhaie Ahmad selaku Naib Presiden Pas memilih untuk menyertai UMNO.



UMNO sendiri kehilangan pengasas mereka yang juga Presiden pertama iaitu Datuk Onn Jaafar apabila cadangan beliau untuk membenarkan orang bukan Melayu menyertai parti tersebut ditolak.



Hakikatnya, Pas adalah sayap agama UMNO dan terpisah menjadi satu entiti politik berlainan tidak lama selepas 1951. Ketika Tun Dr Mahathir menjadi Presiden dan Perdana Menteri, Presiden kedua dan ketiga UMNO, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn tidak mahu menyertai UMNO (Baru) dan berada di luar parti sehingga mereka meninggal dunia.



Dalam parti-parti lain Barisan Nasional juga, kita tahu bahawa ada yang membelot daripada MCA dan Gerakan dengan saling bertukar antara parti ini untuk beberapa waktu. MIC juga kehilangan pemimpin dan ahli yang membentuk IPF. Kita juga boleh memanjangkan kisah sejarah pembelotan politik ini di Sabah dan Sarawak.



Lompat parti



Di kalangan parti pembangkang, DAP juga pernah berdepan dengan wakil rakyatnya yang melompat parti. Ini turut melanda Keadilan sejak dari mula. Timbalan Presiden Chandra Muzaffar, Ketua Pemuda Ezam Mohd Noor dam rakan-rakannya semua telah meninggalkan parti. Juga Datuk Nallakarupan dan kini sebahagian mereka yang dipilih pada 8 Mac 2008.



Meskipun Anwar secara peribadi telah meminta maaf untuk mutu calon yang diketengahkan pada Pilihan Raya 2008, tidak wajar kita melihat situasi ini tanpa mengakui bahawa budaya politik dangkal daripada ‘elected dictatorship’ yang menindas rakyat sekian lama.



Politik telah menjadi sumber kekuasaan semata-mata, atau paling tidak, untuk naungan – atau istilah yang kini digunakan ‘kabel’. Bahkan buat sekian lamanya, hubungan ini adalah satu-satunya perkara yang diperlukan untuk mara ke depan dalam sesetengah parti. Tambahan pula, sistem keselamatan sosial kita tidak berfungsi. Seringkali penjawat awam kita hanya bertindak apabila ‘kabel’ politik ini digunakan.



Hasilnya, rakyat yang memerlukan bantuan tidak ada tempat merujuk kecuali kepada wakil rakyat. Harapan rakyat kepada Ahli Yang Berhormat terus meningkat sambil kuasa sebenar Parlimen dan Dewan Negeri merosot. Justeru para wakil rakyat tidak lagi hanya menjadi penggubal dasar, namun turut terpaksa menjadi pelobi perniagaan, pegawai kebajikan, pengutip sampah malah kaunselor perkahwinan!



Dalam banyak sesi saya bersama penduduk yang saya wakili, berdepan dengan semua masalah ini dan menyedari inilah yang biasanya dimahukan rakyat biasa daripada wakil rakyat mereka.



Bukanlah saya dan rakan-rakan seperjuangan ingin merungut. Tujuan kami bertanding dalam pilihan raya sendiri jelas untuk berkhidmat kepada rakyat. Ini hanyalah satu gambaran skop kerja yang dihadapkan kepada kami.



Cabaran Keadilan bukan saja kerana kami sebuah parti baru. Kami bercita-cita untuk membawa persekitaran politik Malaysia yang lebih baik sebagaimana yang tertera dalam dasar utama perjuangan kami “untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dan negara yang demokratik, maju dan bersatu”. Ini bermaksud menentang corak dan gaya politik Malaysia yang korup, terpecah dan bersifat autoritarian.



Ini bukannya mudah kerana akan menjejaskan mereka yang hidup senang dengan gaya dan persekitaran politik lama. Mereka akan cuba menghalang usaha membawa gaya dan persekitaran politik baru ini, sekali gus bertukar menjadi babak-babak drama yang kita tonton selama ini.



Keadilan lahir daripada rakyat biasa. Kami hadir berjuang dengan hati dan minda di kampus universiti dan kampung, pada waktu Reformasi, dibasahi keringat, air mata dan jiwa rakyat.



Pada waktu itu, berdepan dengan pancutan air daripada trak FRU dan dimasukkan ke lokap dan penjara adalah satu kebanggaan. Pengorbanan mereka pada zaman awal Reformasi sangat membanggakan: ada penjawat awam yang dipindahkan ke kawasan ceruk, ada usahawan yang kehilangan kontrak sementara ada mahasiswa dikenakan amaran dan dibuang dari universiti.



Apa yang menyatukan semua reformis pada waktu itu bukanlah isu-isu klise dalam politik Malaysia iaitu kaum dan agama tetapi ia satu sikap kemanusiaan untuk bangun membela keadilan dan kebebasan.



Reformasi menafikan pandangan bahawa rakyat Malaysia adalah jenis individu yang hanya pentingkan diri sendiri. Pemimpin dan ahli kita bukanlah mereka yang jatuh daripada langit tetapi rakyat biasa yang hadir menyatakan sikap daripada kemarahan dan kesabaran yang diuji. Kita akan terus menyatakan sikap untuk prinsip yang sama.



Melihat kepada riak wajah rakyat pada waktu itu, segelintir berpendapat bahawa perjuangan ini hanya berjangka pendek kerana kejayaan akan hadir dalam masa singkat. Ada yang kecewa kerana pada tahun 1999 Keadilan hanya memenangi 5 kerusi di kawasan majoriti Melayu dan ramai tokoh-tokoh utama parti tewas. Maka, sebahagian daripada mereka pergi meninggalkan parti. Tetapi itu bukanlah prestasi tercorot parti.



Sayap Pemuda



Masa paling perit yang dihadapi ialah pada tahun 2004 ketika UMNO-BN menguasai 90 peratus daripada kerusi Parlimen dan Keadilan hanya mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh. Ada yang menyimpulkan bahawa Malaysia tidak bersedia untuk sebuah politik progresif pelbagai kaum dan Keadilan akan berakhir sama seperti Semangat 46. Malah ada yang terus menyanyikan nada yang sama pada hari ini.



Reformis dan mereka yang setia dengan parti terus berjuang dalam keadaan itu. Saya pulang dari United Kingdom setahun kemudian dan terus menyertai Keadilan Cabang Kelana Jaya. Cabang tersebut adalah satu daripada yang terbaik, namun begitu pun mesyuarat kami masih hanya berlangsung di kedai mamak atau rumah ahli parti kerana tidak mampu menyewa premis untuk dijadikan pejabat.



Ketika ramai yang menyepikan diri, mereka yang berdedikasi terus memastikan semangat Reformasi hidup. Kami menganjurkan pertandingan boling untuk bertemu anak muda dan mengumpul dana bagi Angkatan Muda.



Projek kelas tambahan percuma dimulakan beberapa bulan sebelum Pilihan Raya apabila beberapa rakan termasuk saya berkumpul, merangka dan menggantung kain pemidang, menyebarkan risalah dan mendidik pelajar. Kami tidak didorong untuk mendapatkan kontrak pada satu hari nanti, tetapi kerana kepercayaan kami bahawa ini adalah parti yang diperlukan oleh Malaysia dan ia mesti dibina daripada akar umbi.



Ketika sayap pemuda sedang membina semula kekuatannya, kami berkelana seluruh negara untuk menyebarkan risalah, memotivasikan ahli-ahli yang tidak aktif dan memberi ceramah kepada masyarakat. Saya masih ingat seorang daripada pimpinan Angkatan Muda, Kesavan yang mengisytiharkan dengan bangga bahawa beliau hanya akan berkahwin jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12 di Hutan Melintang, Perak. Kami tertawa – jika prestasi lepas mahu dijadikan ukuran, Kesavan mungkin membujang seumur hidupnya. Ketika saya berhenti di kawasan beliau untuk membantu sebaran risalah, orang ramai tidak tahu bahawa Keadilan masih wujud dan aktif.



Apapun memegang amanah kuasa rentetan kejayaan 8 Mac 2008 adalah mencabar (termasuk YB Kesavan yang menang dan melegakan rakan-rakan serta keluarga dan kini boleh berkahwin).



Dari satu segi, terdapat reformis yang mahu melupakan hal lalu dan merangka haluan baru negara, mencari peluang yang dinafikan kepada mereka akibat jaringan politik ketika UMNO-Barisan Nasional berkuasa. Dengan jangkaan yang begitu, menjadi seorang wakil rakyat di Malaysia adalah mahal dan membebankan.



Ada juga mereka yang menjadikan politik seperti skim cepat kaya untuk mereka dan pengikut mereka. Mereka mahu mengekalkan budaya politik jelek, hanya dengan menggantikan nama baru.



Apabila kerajaan Pakatan Rakyat bertegas dengan komitmen untuk memastikan urus tadbir yang baik, pertanggungjawaban dan ketelusan sebagai garis asas pentadbiran, ada yang mengugut parti dengan kedudukan kerusi wakil rakyat mereka sebagai pertaruhan. Selain itu, ada misalnya cuba memalukan kepimpinan di media massa seperti apa yang berlaku kepada Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor. Mereka ini mendahulukan kepentingan diri mereka dan tidak menghormati usaha keras dan susah payah Anwar membina



Reformis senyap



Pakatan Rakyat sebagai sebuah gabungan parti-parti yang boleh dipercayai boleh menjadi kerajaan satu hari nanti. Itu belum termasuk usaha lawan untuk mematikan hayat politik beliau, khususnya dengan kesnya di mahkamah.



Apabila tuntutan mereka tidak dipenuhi oleh parti, mereka keluar dan mendakwa kecewa dengan pendirian parti terhadap isu Islam dan Melayu sambil menyatakan kekecewaan dengan rakan lain dalam kepimpinan Pakatan Rakyat. Mereka cuba menggambarkan diri mereka seorang negarawan yang sangat berprinsip, walhal hakikatnya motif mereka adalah cetek dan jahat.



Ketika mereka semua mendapat tempat sebagai tajuk utama media, ramai ahli, reformis dan pemimpin yang komited dalam Pakatan Rakyat meneruskan perjuangan mereka dalam senyap. Mereka melakukan semua ini tanpa habuan dan sambutan, bahkan berdepan dengan godaan serta risiko lain yang banyak.



Seorang ADUN memberitahu bahawa beliau menerima banyak panggilan daripada BN dan ejen mereka untuk melompat parti. Beliau kini mempunyai hutang kad kredit sehingga RM40,000 semata-mata untuk memenuhi komitmennya kepada pengundi. Beliau meyakinkan saya:



“Saya boleh terima tawaran mereka dan hidup dengan senang. Tapi bagaimana saya mahu tunjukkan muka kepada para pengundi yang memberikan kepercayaan mereka kepada saya sebagai wakil cita-cita parti?”.



Contoh lain: saya bertemu dengan seorang rakan di masjid dan beliau mengatakan tidak mahu terlalu ke depan selepas 8 Mac 2008. Kerana beliau telah bekerja kuat untuk membantu kemenangan yang ada, saya bertanya sebabnya. Beliau berkata bahawa “Saya tidak mahu dilihat mengambil kesempatan ketika parti telah berkuasa”.



Membina sebuah gerakan yang dapat terus menjiwai cita-cita murni dan mengajak seluruh jamak masyarakat Malaysia untuk bersama berdepan dengan sebuah sistem yang korup dan bersifat autoritarian tentu saja tidak mudah. Tetapi kita tiada pilihan lain.



Ada yang berpendapat bahawa kejayaan 2008 adalah tanda bahawa perjuangan ini akan tamat dan berhasil. Ini adalah satu pandangan yang tersasar. Hatta kita menawan Putrajaya sekalipun, perjuangan ini mesti diteruskan. Perjuangan memperkasakan seluruh rakyat Malaysia, menghidupkan mesej kebebasan dan keadilan di bumi bertuah ini akan tetap diteruskan. Perjuangan ini diteruskan selagi mana ada rakyat Malaysia menderita dan memerlukan bantuan.



Tugas ini mungkin tidak dapat diselesaikan semasa hayat kita, tetapi sebagaimana Presiden Amerika Syarikat John F Kennedy pernah menyebut – tugas ini perlu dimulakan. Dengan memulakan langkah perjuangan ini, dengan izin Allah SWT satu hari nanti kita akan meninggalkan dunia ini dengan mengetahui bahawa kita telah melakukan apa yang perlu bagi memastikan generasi akan datang mewarisi Malaysia yang lebih baik.





* Nik Nazmi Nik Ahmad ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor dan ADUN Seri Setia.