Wednesday, December 16, 2009

Kemaraan Kuasa Dunia Baru Disekat

AS kenakan sekatan pada Iran

WASHINGTON 16 Dis. - Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) semalam meluluskan rang undang-undang untuk mengenakan sekatan ke atas syarikat-syarikat asing yang membantu membekalkan minyak petrol kepada Iran.
Ahli Dewan berharap langkah itu akan menghalang Teheran daripada meneruskan program nuklearnya yang didakwa bertujuan untuk menghasilkan senjata atom.
Rang undang-undang yang diluluskan dengan 412 undi menyokong dan 12 undi menentang itu memberi kuasa kepada Presiden Barack Obama untuk mengenakan sekatan ke atas syarikat tenaga yang membekalkan minyak petrol secara langsung kepada Iran.

Turut menjadi sasaran sekatan ialah firma-firma yang menyediakan perlindungan insurans dan kapal tangki bagi memudahkan penghantaran bekalan bahan bakar itu.
Senat AS dijangka meluluskan rang undang-undang serupa tetapi pengundian belum dijadualkan.
Rang undang-undang itu memperluaskan skop undang-undang AS sedia ada yang mengenakan sekatan ke atas syarikat asing yang melaburkan lebih AS$20 juta (RM68 juta) setahun dalam sektor tenaga Iran.
"Rang undang-undang mempunyai satu matlamat utama iaitu untuk menghalang Iran daripada memperoleh keupayaan membina senjata nuklear," kata anggota Dewan Perwakilan Demokrat yang menaja draf undang-undang itu, Howard Berman.

Speaker Dewan, Nancy Pelosi pula berkata, segala alat yang ada perlu digunakan, daripada diplomasi sehinggalah sekatan, untuk menyekat kemaraan Iran ke arah mencapai keupayaan membina senjata nuklear.
Sungguhpun Iran memiliki antara simpanan minyak terbesar di dunia, negara itu perlu mengimport 40 peratus daripada bekalan petrolnya bagi memenuhi permintaan domestik disebabkan kekurangan kapasiti penapisan.
Beberapa pembekal sebelum ini seperti BP dan syarikat penapis India, Reliance menghentikan bekalan bahan bakar apabila AS meningkatkan tekanan ke atas syarikat yang menjalankan urusan dengan Iran.
Bagaimanapun import berada pada paras stabil kerana beberapa syarikat seperti firma perdagangan Trafigura dan Vitol dari Eropah, International Petroleum Group dari Kuwait dan Petronas dari Malaysia melangkah masuk untuk menampung kekurangan, kata peniaga. - Reuters



Melihat senario politik dunia kini, gerakan Islam perlu bijak meletakkan diri dalam arus aliran yang betul dalam menuju matlamat jangka panjang gerakan. Iran yang sudah mula meletakkan diri sebagai musuh AS dan mencabar kuasa besar dunia itu akan mampu bangkit sebagai lawan utama AS disegenap aspek. Iran dalam masa yang sama sudah  mula membina benteng terpenting kepada sesuah tamadun baru iaitu sumber manusianya. Seandainya akhlak, keintelektualan dan pemerkasaan budaya Islam diterapkan bersistematik kepada rakyatnya, maka sedikit masa lagi Iran lah yang menjuarai, bukan lagi penjajah kulit putih itu.

Maka gerakan Islam Malaysia perlu cakna dengan perubahan iklim politik dunia. Orientasi gerakan kita yang dikira baru ini sebaiknya mengambil contoh teladan bangsa berjaya seperti bangsa Parsi ini. Bukan bermaksud kita mencedok dan meniru apa yang diperbuat Iran, tapi sebaiknya kita mengkaji latar bangsa, cara berfikir dan mencontohi keghairahan mereka dalam melakukan sesuatu pekerjaan dan keinginan yang tinggi untuk menjadi umat terbaik. Ini terbukti melaui keberanian Iran melawan AS melaui pengayaan projek nuklear uraniumnya. Bukan juga bermaksud kita bangsa timur ini malas bekerja seperti yang didakwa Frank Swettenham dalam Mitos Pribumi Malas karyanya, itu dakwaan lapuk Residen Tanah Melayu waktu itu, cuma gelora jiwa bangsa kita untuk menjadi yang terbaik itu masih kurang. Dunia Islam ditindas kini amat amat memerlukan kita luar biasa daripada orang lain. Luar biasa kemahuannya, luarbiasa pemikirannya, juga luar biasa tindakannya .


Ayuh, berubah! atau kita diubah. Salam Maal Hijrah 1431H

No comments: